Ramai dalam kalangan orang Islam menganggap menulis wasiat adalah perkara yang tidak begitu penting dalam menguruskan perancangan harta di masa hadapan. Maka, tidak hairanlah dilaporkan ramai orang Islam tidak membuat persiapan menulis wasiat kerana beranggapan urusan harta diletakkan di bawah faraid sahaja.
Penulisan wasiat seharusnya perlu dilakukan mulai dari sekarang iaitu semasa hayat masih ada dan semasa tubuh masih sihat. Ada yang mendakwa bahawa mereka tidak mempunyai harta yang hendak diwasiatkan. Harta yang ada berupa sebuah kereta dan sebuah rumah dianggap hanya hal yang kecil dan remeh untuk difikirkan. Sebagai seorang yang bertanggungjawab dan selagi anda mempunyai hutang, anda mestilah menyediakan satu penulisan berbentuk pesanan untuk waris anda menjelaskan hutang yang bakal ditinggalkan.
Apa Itu Wasiat?
Wasiat merupakan dokumen penyelesaian pusaka berbentuk arahan kepada Wasi untuk menyempurnakan segala hasrat pewasiat termasuklah melaksanakan segala strategi perancangan dan pengagihan harta selepas kematian.
Wasiat dari segi bahasa maksudnya adalah “sambung”, manakala dari segi istilah pula maksudnya pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah meninggal dunia iaitu ianya hanya terlaksana selepas pewasiat meninggal dunia. Mengikut Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 wasiat bermaksud iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud yang dibenarkan menurut hukum syarak, selepas beliau meninggal dunia. Islam amat menggalakkan umatnya supaya berwasiat dalam merancang harta. Namun demikian, wasiat tersebut hendaklah terhad kepada sepertiga (1/3) harta sahaja.
Pada permulaan Islam, berwasiat adalah suatu kewajipan untuk ibu bapa dan kaum kerabat yang terdekat berdasarkan Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Diwajibkan ke atas kamu, apabila seseorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiatlah untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma’ruf (ini adalah) kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa”.
(Surah Al-Baqarah:180)
Kemudian, kewajipan berwasiat telah dimansuhkan hukumnya apabila turunnya ayat mawarith dalam surah Al-Nisa, iaitu yang menerangkan hak-hak dan pembahagian pusaka melalui hukum faraid contohnya melalui ayat yang bermaksud: “Bagi orang laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, dan bagi orang wanita ada hak bahagian (pula) dari harta peninggalan ibu-bapa dan kerabatnya, baik sedikit atau banyak menurut bahagian yang telah ditetapkan”.
(Surah Al-Nisa’: 7)
Manakala Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak wajar bagi seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu untuk diwasiatkan, membiarkan dua malam berlalu tanpa menulis wasiatnya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Melalui hadis di atas, jelas menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. amat menggalakkan wasiat dibuat bila mana telah terlintas di hati untuk membuat sesuatu wasiat.
Kenapa Wasiat Itu Penting?
Berwasiat merupakan suatu tindakan mulia untuk menzahirkan keinginan pewasiat terhadap pembahagian harta yang dikumpul semasa hidup. Perwarisan harta yang dirancang melalui wasiat dapat diagihkan untuk tujuan kebajikan dan kepada keluarga yang tersayang selepas kematian.
Menulis wasiat adalah sangat berfaedah kerana pelantikan wasi melalui dokumen wasiat akan memudahkan pengurusan dan pentadbiran harta pusaka selepas kematian. Perlantikan penjaga yang dipercayai melalui wasiat akan menjamin kebajikan anak-anak di bawah umur selepas kematian ibu bapa. Pada masa yang sama, ia juga akan mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh waris-waris yang ditinggalkan.
Kaedah Berwasiat
Penulisan atau pembuatan wasiat mempunyai syarat-syarat tertentu iaitu wasiat kepada bukan waris dan ahli waris yang terlindung daripada menerima harta pusaka melalui faraid. Hanya satu pertiga (1/3) daripada baki harta selepas ditolak segala hutang yang masih belum diselesaikan boleh diwasiatkan. Manakala dua pertiga (2/3) daripada harta pewasiat adalah merupakan hak ahli waris menurut Hukum Faraid. Pewasiat boleh mewasiatkan hartanya melebihi satu pertiga (1/3) sekiranya semua ahli waris bersetuju dengan pembahagian tersebut selepas kematian pewasiat. Pewasiat juga boleh mewasiatkan hartanya kepada ahli waris yang layak menerima faraid sekiranya dipersetujui oleh ahli-ahli waris yang lain selepas kematian pewasiat. Ia sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain.”
(Riwayat Abu Daud)
Siapa Yang Layak Membuat Wasiat?
Semua umat Islam layak membuat wasiat asalkan anda berumur lebih 18 tahun, sempurna akal, sukarela dan tidak dipaksa, tidak dihalang mengurus hartanya dan jika pewasiat sedang sakit, dia hendaklah waras fikiran, baik ingatan dan memahami wasiat dibuat.
Dari segi harta yang boleh diwasiatkan adalah harta alih seperti kenderaan, wang tunai, wang simpanan, barang kemas, saham, insurans dan hutang serta harta tak alih seperti rumah, tanah dan bangunan.
Jika anda seorang yang berharta, lanjut usia, tidak berkahwin, mempunyai anak angkat, berhutang, tiada waris dan/atau muallaf, adalah sangat digalakkan membuat wasiat. Ini bermakna semua sekalian adalah digalakkan membuat wasiat.
Perlaksanaan Wasiat
Perlaksanaan wasiat akan dilakukan sebaik sahaja pewasiat meninggal dunia. Ia bermula dengan pihak Wasi membacakan dokumen wasiat kepada semua waris benefisiari dan yang ada hubungan dengan Simati.
Keutamaan Pentadbiran Harta Pusaka
- Perbelanjaan Pengurusan Jenazah
- Menyelesaikan Tanggungan Hutang – Agama (Contoh: Ibadah Haji, Puasa dan sebagainya)
- Menyelesaikan Tanggungan Hutang – Manusia
- Pembahagian Harta Sepencarian
- Menunaikan Wasiat (jika Pewasiat membuat arahan berwasiat kepada bukan waris seperti badan amal makisma 1/3 dari harta Pewasiat)
- Pembahagian Kepada Waris
Pembahagian kepada waris Pewasiat akan dilakukan selepas 5 perkara di atas diselesaikan terlebih dahulu. Ini kerana menurut wasiat islam, hutang tidak akan langsai sekalipun Pewasiat sudah meninggal dunia. Menyelesaikan hutang dengan Allah dan manusia menjadi keutamaan pentadbiran wasiat.
Bahagian Penting Dokumen Wasiat
- Nasihat dan pesanan yang baik kepada isteri/suami, anak-anak dan ahli keluarga yang lain.
- Nama isteri/suami, anak-anak dan ahli waris.
- Pengagihan harta dan hutang yang dimiliki semasa hidup.
- Arahan untuk melunaskan segala hutang.
- Menyatakan hasrat pengagihan harta kepada insan yang disayangi atau tujuan kebajikan.
- Pelantikan Wasi/Pentadbir, Pemegang Amanah dan Penjaga bagi anak di bawah umur.
- Arahan Pewasiat terhadap perbelanjaan yang diperlukan untuk mentadbir harta pusaka. Pewasiat boleh menyatakan larangannya supaya tidak menggunakan hartanya bagi tujuan yang tidak bermanfaat kepada dirinya dan waris-waris yang ditinggalkan.
Dokumen Wasiat mesti ditandantangani oleh Pewasiat dan disaksikan oleh 2 orang saksi yang berkelayakan. Ini bagi mengelakkan pertikaian kesahihan dokumen Wasiat selepas kematian Pewasiat.